Tuesday, March 9, 2010

BENGKEL HEADCOUNT 2010

Pada 6 Mac 2010 (Sabtu) pihak sekolah SMK Silabukan telah mengadakan satu bengkel Headcount untuk memberi pendedahan kepada guru-guru bagaimana menyediakan Headcount bagi menganalisis pencapaian pelajar di dalam bidang akademik. Penceramah jemputan merupakan kawan lama penulis, En. Sabri Che Seman yang bertugas di SMK Tungku Lahad Datu. En. Sabri merupakan seorang guru Bahasa Melayu yang berpengalaman menanda kertas peperiksaan awam, guru ICT dan juga Guru Cemerlang bagi matapelajaran Bahasa Melayu. Bengkel Headcount ini bermula pada jam 7.30 pagi bermula dengan pengenalan kepada Headcount, instrumen yang berkaitan dengan headcount dan juga Sistem Analisis Peperiksaan (SAP).

Fokus utama bengkel ini adalah pada penggunaan SAP dan bagaimana ia berfungsi di dalam bidang pendidikan. Melalui bengkel ini En. Sabri telah berjaya memperkenalkan SAP kepada guru SMK Silabukan dan bagaimana ia mampu menyelesaikan tugas ketua panitia, guru matapelajaran dan guru kelas. Ia sebuah sistem yang kompleks tetapi mampu menyelesaikan banyak perkara dalam satu masa contohnya seperti menyediakan laporan headcount, analisis mengikut matapelajaran, analisis mengikut individu, analisis mengikut tingkatan, sijil keputusan peperiksaan dan sebagainya. Bagi saya ada beberapa aspek yang perlu ditekankan apabila menggunakan sistem ini iaitu:
1. Penyelaras sistem yang mahir akan selok belok sistem ini.
2. Pembangunan rangkaian yang melibatkan beberapa unit komputer untuk memudahkan guru matapelajaran memasukkan markah.
3. Laporan headcount dan analisis. Bolehkah setiap guru memperolehi salinan laporan analisis dari sistem ini atau guru perlu menyediakan analisis yang berasingan untuk disimpan di dalam fail meja guru matapelajaran masing-masing. Begitu juga dengan salinanan laporan analisis kepada setiausaha unit peperiksaan. Ini bermakna pihak sekolah perlu menyediakan bekalan kertas dan toner printer yang secukupnya untuk kerja-kerja dokumentasi dan sistem fail.

Thursday, March 4, 2010

PERTANDINGAN KECERIAAN KELAS

Minggu ini telah bermula pertandingan keceriaan kelas anjuran unit 3K SMK Silabukan. Setiap minggu, 2 kali guru bertugas akan mengambil markah kebersihan bagi setiap kelas. Bagi sesi petang saya telah di amanahkan oleh pihak sekolah untuk menjadi guru kelas 2 Kekwa. Oleh itu saya telah merancang beberapa program untuk meningkatkan keceriaan kelas 2 Kekwa.
 
Langkah awal adalah menyediakan sudut info bagi kelas 2 Kekwa sebagai ruang untuk memaparkan Carta Organisasi, Misi dan Visi Sekolah, Senarai Pelajar, Jadual Waktu dan jadual bertugas. Kemudian beberapa orang pelajar ditugaskan menampal sudut matapelajaran dibahagian belakang kelas. Bahagian kanan kelas dihias dengan kata-kata motivasi sebagai salah satu usaha mengingatkan pelajar tujuan utama mereka belajar dan di sebelah kiri kelas saya telah menyediakan beberapa nilai-nilai murni yang ditampal pada piring kertas yang berbentuk bunga matahari. Saya juga sentiasa menyelia kebersihan kelas dari semasa ke semasa untuk memastikan kelas sentiasa bersih, ceria dan kondusif untuk memastikan para pelajar selesa belajar setiap hari. Saya juga sentiasa mengingatkan pelajar bahawa pertandingan keceriaan kelas bukan hanya melibatkan keceriaan kelas sahaja bahkan kebersihan sekeliling dan juga tingkahlaku pelajar. Saya berharap agar para pelajar sentiasa menjaga kebersihan dan semoga program ini berjaya memupuk semangat cintakan kebersihan dikalangan para pelajar.